Elyana dedah kanser dihadapi kini hampir tahap lima

0
2

PENYANYI dan pelakon, Elyana mengesahkan penyakit kanser limfoma yang dihidapinya sejak hampir 10 tahun lalu kini hampir memasuki tahap lima.

Pemilik nama sebenar, Er­neelya Elyana Emrizal, 33, berkata, kanser itu turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badan seperti rahim, hati dan pangkal paha.

“Semasa saya dimasukkan ke hospital bulan lalu, doktor memaklumkan sel kanser lama sudah berkurangan. Ia merupakan satu berita gembira buat saya.

“Namun begitu, doktor mendapati kanser itu te­lah merebak ke bahagian lain iaitu rahim, hati dan pada pangkal paha,” katanya lapor Kosmo hari ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kalis Rindu’ itu memberitahu, biarpun saiznya masih kecil, namun sekiranya membesar ia boleh memberi kesan pada tulang selain berisiko lumpuh.

Jelas Elyana, doktor mahu rawatan kemoterapi dilakukan secepat mungkin, namun prosedur terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Saya hilang selera makan sejak beberapa bulan lalu sehingga badan lemah dan kurus. Kini berat saya hanya 40 kilogram.

“Berilah waktu untuk saya kuat dahulu, Insya-Allah kalau diberi kesempatan saya akan melakukan kemoterapi secepat mungkin,” katanya yang kali terakhir melakukan rawatan itu pada 2016.

Biarpun berdepan masalah kesihatan, Elyana tidak mahu menampakkan dirinya sakit dan sentiasa ceria supaya dapat memberi motivasi bukan sahaja kepada diri sendiri, malah pesakit kanser lain.

Elyana membuat pendedahan mengenai penyakit kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Elyana mendirikan rumah tangga dan memiliki dua anak iaitu Cinta Sumayyah, 9, dan Cahaya Ramadhani, 1, yang merupakan anak angkat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here