Saarani angkat sumpah MB Perak ke-14

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, Ipoh hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada jam 11.20 pagi.

Istiadat angkat sumpah itu sekali gus mengakhiri persoalan dan teka-teki siapakah yang akan menduduki kerusi itu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melepaskan jawatan itu pada 5 Disember lalu.

Istiadat bermula dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum Saarani mengangkat sumpah dengan disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang meletak jawatan selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul undi percaya Ahli Dewan terhadap Menteri Besar pada Jumaat lalu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang, manakala seorang berkecuali.

Pencalonan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu mendapat persetujuan Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas yang dicapai menerusi perbincangan antara pucuk pimpinan ketiga-tiga parti semalam.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961, Saarani adalah Ketua Umno Bahagian Lenggong dan menjadi wakil rakyat bagi DUN Kota Tampan sejak 2004 dan sebelum itu memulakan kerjaya sebagai guru pada 1982.

BN menguasai 25 kerusi di DUN Perak, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing dengan satu kerusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here