BEKALAN air di tujuh wilayah yang terjejas berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) sejak kelmarin, stabil sepenuhnya pada jam 3 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook memaklumkan, ia membabitkan sebanyak 861 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan Air Selangor di semua wilayah yang terjejas.
“Dapatkan maklumat sahih hanya di medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan empat LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Pencemaran itu dipercayai disebabkan sisa kolam ternakan ikan keli yang tidak mempunyai kebenaran merancang dan beroperasi tanpa kebenaran Majlis Daerah Hulu Selangor. – Malaysiapost

