BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju menamakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu untuk diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Persetujuan itu dicapai atas semangat pemuafakatan PN membabitkan Bersatu dan PAS serta BN, menurut Setiausaha Agung ketiga-tiga parti menerusi kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebentar tadi.
Menurut kenyataan itu, keputusan dicapai susulan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan Perak oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
“Dalam perbincangan ini, Pengerusi BN telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Adun-Adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya.
Menurut ketiga-tiga Setiausaha Agung, perbincangan juga mencapai kata sepakat mengenai pelantikan lain dalam kerajaan negeri.
“Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di Perak dan di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

