5 telco dikompaun RM750,000

0
2

Fitri Nizam

LIMA syarikat telekomunikasi dikompaun RM750,000 kerana didapati membuat pendaftaran kad sim prabayar tanpa pengesahan maklumat pengguna.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berkata sebanyak 15 kompaun dikeluarkan pada 4 Disember lalu terhadap syarikat berkenaan.

Katanya, tindakan diambil berdasarkan laporan audit dijalankan SKMM Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lalu.

“Dengan pengeluaran kompaun terbaharu tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang 2020 adalah 70 yang bernilai RM3.45 juta.

“Jumlah berkenaan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding dengan 58 kompaun bernilai RM2.9 juta dikeluarkan pada 2019 bagi kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan kenyataan media itu, syarikat telekomunikasi yang dikompaun adalah Digi Telcommunication Sdn Bhd (RM250,000), Maxis Broadband Sdn Bhd (RM200,000), U Mobile Sdn Bhd (RM150,000), Tune Talk Sdn Bhd (RM100,000) dan YTL Communication Sdn Bhd (RM50,000).

SKKM berkata, kesalahan pendaftaran prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna adalah kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Tindakan ini menunjukkan usaha tegas yang berterusan oleh SKMM dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan atau scam secara dalam talian yang semakin meningkat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here