Aiman Hanif
“INSYA-ALLAH, esok selesai harapnya,” demikian reaksi Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kepada Malaysiapost ketika ditanya mengenai kemelut politik Perak malam, tadi.
Beliau memberi gambaran bahawa kemelut politik negeri Perak itu akan cuba diselesaikan dalam kadar segera.
Dalam satu kenyataan media berasingan, Takiyuddin berkata keputusan PAS Perak untuk tidak menghadap Sultan Perak adalah bagi mengelak kekhilafan.
Katanya, PAS sebagai sebuah parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.
“Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan PAS tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ianya bersabit dengan titah duli yang maha mulia Sultan.
“Maka PAS mengarahkan semua Adun PAS untuk hadir ke Istana setelah menerima titah Menghadap duli yang maha mulia Tuanku Sultan Perak.
“PAS akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
Semalam, PAS membatalkan rancangan menghantar Adun parti itu menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.
Tiga Adun parti itu Razman Zakaria (Gunong Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) sepatutnya mengadap baginda Sultan pada jam 3 petang.
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, berkata keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.- Malaysiapost

