Fitri Nizam
Rakyat Malaysia perlu menganggap diri sendiri sebagai petugas barisan hadapan supaya dapat mengelakkan dari menjadi penyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 di negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi supaya rakyat sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada wujudnya kluster baharu.
“Justeru kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, rumah ibadah mahu pun di rumah perlu ada dalam diri kita pada setiap masa,” katanya ketika melancarkan kempen Pembudayaan Norma Baharu, di Pagoh, Johor, hari ini.
Muhyiddin berkata, tidak dapat dinafikan bahawa trend peningkatan kes dan pertambahan kluster baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap SOP.
“Saya mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah dalam kalangan sekumpulan kecil individu yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.
“Tindakan melanggar perintah ini bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara-mara malah ia turut mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan Covid-19,” katanya.
Yang turut hadir, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba;
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Muhyiddin berkata, aplikasi MySejahtera yang ringkas dan padat menjadi platform untuk memudahkan agensi kerajaan menangani wabak Covid-19.
Justeru, beliau menyeru supaya semua rakyat Malaysia dapat memuat turun aplikasi dan memanfaatkan aplikasi berkenaan.
“Setakat ini, katanya, seramai 6.5 juta pengguna memuat turun aplikasi berkenaan. MySejahtera terbukti berkesan untuk menjejak kontak rapat pesakit Covid-19,” katanya.

