Nurul Huda Abhar
PAS Pusat sedang berusaha mencari jalan terbaik untuk menyatukan Melayu Islam kerana jika silap percaturan penyatuan yang wujud boleh musnah.
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Perak, Fairuz Hafizh Othman berkata, keputusan yang bakal diambil oleh PAS di Perak akan menentukan percaturan di negeri lain.
“Hanya PAS berada antara Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN). Sebab itu langkah PAS mesti tenang dalam mengimbangi persaingan Bersatu dan Umno. PAS tak boleh terheret sama dalam polemik perpecahan ini.
“Sewajarnya kita semua letakkan keyakinan untuk usaha menghalang dari runtuhnya penyatuan umat Melayu Islam khasnya di Perak.
“Dari awal PAS cuba perteguhkan penyatuan ini. Usul yang dibawa Umno
disokong oleh PAS. Malangnya Umno yang tak sokong… Kesian PAS… kena game dengan Umno.
“Sudahnya apabila keadaan semakin parah.. PAS yang cuba mendamaikan dipersalahkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, PAS sangat kuat berpegang dengan adat Melayu bersendikan Islam tidak sama sekali membelakangkan istana.
Katanya, PAS mahu mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan persediaan yang rapi kerana tingginya penghormatan PAS kepada istana.
“PAS tidak mahu mengecewakan Tuanku jika hadir tanpa sebarang keputusan yang memuaskan hati baginda. Islam mendidik kepimpinan PAS menghormati institusi istana kerana mereka payung agama,” ujarnya.
Terdahulu, PAS membatalkan rancangan menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu mengadap Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh, hari ini.
Tiga Adun parti itu Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) sepatutnya mengadap baginda pada jam 3 petang tadi.
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, berkata keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti. – Malaysiapost

