Surat sokongan bukan keputusan, tak semestinya diterima pakai – Annuar Musa

0
2

MENTERI Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menegaskan surat sokongan bukan keputusan atau arahan dan tidak semestinya diterima pakai.

Kenyataan itu susulan dakwaan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengenai surat sokongan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meluluskan projek pembinaan lebuh raya di Kelantan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat.

“Bila rakyat minta sokongan dan ada asas dan merit yang sesuai, tugas wakil rakyat adalah memberikan sokongan yang dipohon.

“Laku tak laku itu soal lain, kerana setiap urusan kerajaan, terutama sistem perolehan mesti mengikut peraturan,” katanya dalam hantaran di Facebook (FB), hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sokongannya itu tidak berjaya dan tidak diambil kira oleh Perdana Menteri.

“Belum selesai dengan DAP, ada lagi kerja fitnah ini.

“Mujur juga sokongan tak berjaya, dan tak diambil kira pun oleh Perdana Menteri dan projek berkenaan telah pun dibuat secara tender terbuka.

“Jika tidak entah apa lagi fitnah agaknya,” ujarnya lagi.

Terdahulu Lokman dalam satu catatan di FB mendedahkan ‘surat sokongan’ Annuar kepada Muhyiddin agar diberikan rundingan terus projek membina dan menyiapkan Lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai (pakej 2C dan 3A) kepada sebuah syarikat.

“Sekarang baru saya faham kenapa Annuar beria mempertahankan Muhyiddin Yassin,” tulisnya

Menerusi perkongsian tersebut beliau turut memuat naik gambar surat sokongan itu.

“Projek Membina dan Menyiapkan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan, Pakej 2C & 3A. Patutlah Annuar Musa berangan nak tanding presiden Umno,” tulis Lokman. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here