Krisis Perak: Belum ada parti miliki majoriti mudah tubuh kerajaan – Annuar Zaini

0
3

BELUM ada mana-mana pihak setakat ini yang berjaya meyakinkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, memiliki majoriti mudah untuk menubuh kerajaan negeri, seterusnya melantik menteri besar yang baharu.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Beliau berkata, istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baharu hanya dapat dilaksanakan sehingga isu terbabit diselesaikan atas perkenan Sultan Perak.

“Sehingga diperkenankan Tuanku, yakin sudah ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan.

“(Setakat ini) Sultan Perak belum dapat diyakinkan oleh mana-mana pihak. Kita akan tunggu sampai mereka bersedia dengan meyakinkan Duli Yang Maha Mulia dan baginda berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya di perkarangan Istana Kinta petang tadi.

Annuar berkata, petang ini Pakatan Harapan (PH) diwakili tiga pengerusi parti komponen negeri masing-masing, menghadap menyembah maklum kepada Sultan Nazrin berkenaan status perundingan sedang berlaku daripada pihak mereka.

“Selepas (ketiga-tiga pemimpin PH) selesai menghadap, Sultan Perak menitahkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad, menghadap yang turut menyembahkan status perundingan yang sedang berlaku di antara pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Saarani turut memohon untuk mengajak Adun Pangkor, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, ketika sembah perkenan petang tadi.

Terdahulu, Tiga pemimpin PH tiba memasuki perkarangan Istana Kinta untuk menghadap Sultan Nazrin.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat tiba menaiki kenderaan berasingan pada jam 2.55 petang.

Ia disusuli Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi tiba pada jam 3.05 petang. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here