Bersatu belum terima titah menghadap Sultan Perak

0
2
grafik

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak memaklumkan pihaknya tidak menerima titah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah secara rasmi dari pihak Istana seperti mana yang dilaporkan media.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya juga masih belum memohon untuk menghadap Sultan Perak berhubung pelantikan Menteri Besar.

“Bersatu Perak sehingga kini masih belum memohon untuk menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perak.

“Dalam pada itu, Bersatu Perak juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak menerima titah Sultan Perak secara rasmi dari pihak Istana sepertimana dilaporkan oleh media massa,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Terdahulu, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, petang tadi.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dilihat tiba menaiki kenderaan secara berasingan jam 2.55 petang tadi, disusuli Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, yang tiba jam 3.05 petang.

Pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Sultan Perak memaklumkan Umno telah mempersembahkan surat memohon perkenan mempertimbangkan calon Menteri Besar.

“Pengumuman untuk nama Menteri Besar Perak akan dibuat oleh Tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak istana,” katanya.

Zahid juga memaklumkan Umno amat yakin calon Menteri Besar tersebut telah mendapat sokongan majoriti Adun yang lebih daripada mencukupi.

Bagaimanapun, PAS membatalkan rancangan menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu mengadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh, hari ini.

Tiga Adun parti itu Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) sepatutnya mengadap baginda pada jam 3 petang tadi.

Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, berkata keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here