Kolam ikan keli punca pencemaran air mentah Sungai Selangor – LUAS

0
2

Nurul Huda Abhar

PENCEMARAN air mentah di Sungai Selangor sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pagi tadi, dipercayai berpunca daripada kolam akuakultur ikan keli.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan, berkata siasatan bersama pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Air Selangor telah menemukan bau daripada sebuah premis kolam akuakultur ikan keli di tanah hak milik PT15680 dan PT523, Mukim Sungai Tinggi, daerah Hulu Selangor.

“Pencemaran bau tersebut disyaki berpunca daripada discaj pelepasan dari salah satu kola mikan tersebut bagi tujuan pengeringan kolam.

“Keluasan premis tersebut adalah 46.1 HA dengan dengan 57 kolam ikan iaitu jarak 8.7 kilometer dari LRA Rantau Panjang.

“Berdasarkan siasatan premis telah membuat pelepasan/discaj dari dua outlet dengan jumlah yang besar ke alur pada jarak kurang 100 meter yang seterusnya ke Sungai Selangor telah menyebabkan pencemaran bau dalam air mentah.”katanya dalam kenyataan, hari ini.

LUAS berkata, Perintah Perlindungan Air di bawah seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 telah dikeluarkan kepada pemilik premis untuk memberhentikan discaj serta-merta dan menjalankan pemulihan segera ditapak.

Tambahnya, LUAS turut membuka kertas siasatan bagi penyiasat di bawah seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 dan jika sabit kesalahan boleh dedenda minimum RM200,000 sehingga maksimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 3 tahun.

Sementara itu, katanya, pencemaran itu berjaya dikekang daripada menjadi lebih teruk dengan pelepasan air dari HORAS 600 bagi tujuan meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor dan LRA telah dapat beroperasi semula kurang daripada tempoh empat jam.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat akan mengalami tekanan air rendah dan bekalan air tidak stabil.

Ini berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang dalam tempoh lima jam disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor pagi tadi. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here