PEMUDA Umno mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera campur tangan menghentikan penjualan ‘luar tabii’ TH Plantation Berhad (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga rendah.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana ia jelas tidak memberi manfaat kepada THP dan 9.4 juta pendeposit Tabung Haji.
Beliau berkata, pihaknya amat kecewa dengan pendedahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Dewan Rakyat pagi tadi berhubung perkara itu.
Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meluluskan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik THP kepada Tamaco dengan harga RM170 juta melalui surat bertarikh 24 November lalu.
“Pemuda Umno telah berkali-kali mendesak agar Lembaga Tabung Haji (THP) dan Pengurusan THP tidak meneruskan penjualan kedua-dua syarikat Bumi Suria Ventures Sdn Bhdb (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) yang memiliki 6,514 hektar tanah di Sarawak.
“Ini termasuk melalui serahan Memorandum Membantah Penjualan Aset-Aset THP kepada Menteri Agama JPM, Menteri Ekonomi JPM dan Menteri Kanan MITI pada 30 November lalu di Lobi Parlimen Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, harga jualan pada RM170 juta ini tidak masuk akal kerana jauh lebih rendah dari penilaian rasmi terakhir oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke atas aset ladang itu iaitu RM198 juta setelah tiga kali rayuan dibuat oleh THP.
“Lebih meragukan, nilaian asal ke atas aset ladang pada 2017 oleh jurunilai profesional CH Williams Talhar & Wong adalah pada harga RM380 juta sebelum ditukar kepada RM120 juta sahaja oleh Khong & Jaafar yang digantikan oleh Pengurusan baharu THP lantikan Pakatan Harapan (PH).
“Nilaian RM120 juta ini juga lebih rendah dari harga kos asal pembelian aset ladang pada 2013 ini iaitu RM234 juta,” katanya.
Asyraf berkata, walaupun wujud syarat Tamaco untuk mengadakan pemilikan kepentingan Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam tempoh satu tahun, logik penjualan aset ladang ini untuk kepentingan THP telah hancur.
“Ini kerana harga satu tan Minyak Sawit Mentah (CPO) kini mencecah RM3,400.
“Malahan potensi tanah-tanah ini untuk dimajukan kelak amat tinggi kerana ianya berhampiran dengan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.
Baru-baru ini, Abdul Azeez berkata, beliau difahamkan biarpun kerajaan sudah bertukar tangan dari PH kepada Perikatan Nasional (PN) sekarang namun difahamkan THP tetap akan meneruskan penjualan aset strategik terbabit.
Bagaimanapun menjawab perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan setakat ini, THP belum lagi membuat sebarang pengumuman awam berkenaan transaksi berkenaan. -Malaysiapost

