Nurul Huda Abhar
SERAMAI 182 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 181 individu telah dikompaun manakala 1 individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (66), tidak memakai pelitup muka (60), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (46), dan lain-lain (10).
“Semalam, Operasi Benteng telah berjaya menahan 31 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat dan sebuah bot/kapal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 116 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan Op Penawar (50 SJR), Op Benteng (57 SJR), dan Op Benteng Aksem (9 SJR).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya. – Malaysiapost

