
SERAMAI 52 suspek yang ditahan berhubung kejadian tembakan yang mengorbankan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, direman 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata 22 suspek direman hari ini manakala selebihnya esok mengikut akta yang sama.
Katanya, kesemua suspek itu melibatkan 48 lelaki warga tempatan dan empat warga Thailand yang berusia antara 20 tahun hingga 65 tahun.
“Jumlah keseluruhan tangkapan yang berkaitan kes ini adalah 53 orang. Bagaimanapun, seorang daripadanya yang ditahan di Padang Besar dibebaskan kerana tidak terbabit dan menjadi saksi pendakwaan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan, BAB VIB Jenayah Terancang. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun.
“Bagi tiga lagi suspek yang ditahan di Thailand, laporan polis dibuat oleh Pegawai Perhubungan Polis Malaysia di Thailand untuk tindakan membawa balik ke sini. Mereka adalah suspek utama dan diharap dibawa balik dan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Sebelum ini pada 24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban selepas diserang 13 penyeludup ketum kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar. -Malaysiapost
