Perjuangan Bersatu tersasar, Adun jeram keluar Bersatu

0
3

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram di Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli hari ini mengumumkan keluar Bersatu dan menjadi wakil rakyat Bebas, berkuat kuasa serta-merta.

Turut didakwa berbuat demikian ialah jawatan kuasa bahagian, ketua-ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu bahagian Kuala Selangor.

Mohd Shaid menerusi kenyataan media berkata mereka berbuat demikian setelah merasakan perjuangan asal parti telah tersasar dari objektif asal penubuhannya iaitu melawan sebuah kerajaan kleptokrasi.

“Kini kita mendapati parti ini sanggup bekerjasama dengan individu yang ditolak oleh rakyat ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Parti tidak mendapatkan pandangan akar umbi mahupun perwakilan sebelum mengadakan kerjasama dengan gabungan baru itu. Rata-rata ahli di bawah tidak dapat menerima keputusan dibuat hanya di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Selain itu kami merasa Presiden Bersatu menjadi salah satu punca menyebabkan kehilangan mandat rakyat pada PRU lalu, apabila membuat keputusan keluar Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Selaku Adun yang dipilih rakyat di DUN Jeram, beliau bertanggungjawab dengan mandat dan amanah diberikan kepadanya.

“Maka saya ingin terus bersama mereka yang memberikan mandat kepada saya,” katanya sambil menambah Bersatu sukar membentuk gabungan bersama dengan Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional kerana semua ditunjangi orang Melayu.

“Kami juga akan terus menyokong kepimpinan dan perjuangan yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti berasaskan orang Melayu yang bergerak bebas tanpa terikat dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya masih belum menentukan nama parti berkenaan dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.