
Muhammad Mustakim Ramli
DAP Perak membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Umno demi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.
Pengerusinya, Nga Kor Ming, berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira situasi di Perak di mana tiada satu parti mempunyai majoriti membentuk kerajaan yang stabil.
Ia berikutan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak pada 4 Disember lalu, selepas usul undi percaya terhadap Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno membuktikan dua perkara iaitu DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.
“Momokan DAP adalah anti Melayu atau anti Islam selama ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya menerusi kenyataan.
Kor Ming menegaskan kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip “good governance”.
“Satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat. Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran.
“Muafakat Pakatan Harapan (PH) disanjung, agenda Reformasi tetap didokong. DAP Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baru tanpa rakan-rakan komponen PH iaitu Amanah dan PKR,” katanya. – Malaysiapost
