Umno Perak calonkan Saarani MB

0
3
PERAK 25-02-2020.Perak opposition leader Datuk Saarani Mohamad speaking to the press at the Perak Umno headquarters in IpohMALAY MAIL/Farhan Najib

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Perak secara konsensus mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya menerusi hantaran Facebooknya, mengesahkan perkara berkenaan, sekali gus menghentikan spekulasi yang memetik beliau sebagai calon Menteri Besar baharu.

“Kami semua ADUN Umno/BN secara konsensus mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

“Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa lagi spekulasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mempertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih menjadi Menteri Besar Perak, Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman turut meluahkan kata-kata berhubung kemelut yang berlaku di negeri Perak ketika ini.

“Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya untuk berpegang kepada konsep reda, usaha dan tawakal kepada Allah. Kita wajib percaya kepada qada dan qadar Allah..segalanya telah tertulis. Jawatan adalah pertanggungjawaban ia bukan untuk perebutan,” katanya melalui kenyataan itu.

Sebelum ini, tiga nama disebut-sebut untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Ia termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Saarani dan Shahrul Zaman antara yang layak mengisi kekosongan jawatan tertinggi itu berdasarkan pengalaman mereka.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan, nama yang disebut sekiranya kerajaan campuran terbentuk adalah Ketua Pembangkang yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari, namun tiada pengesahan mengenai perkara itu.

Sementara itu, sumber Umno ketika dihubungi mengesahkan, seramai 26 ADUN Perak menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Pengerusi Umno Perak, Saarani sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibarisi 25 wakil Umno, DAP (16), Bersatu (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3) dan satu masing-masing dari Gerakan serta Bebas.

Difahamkan, Umno Perak berjaya meyakinkan Bersatu untuk menandatangani SD itu.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan bahawa satu gabungan baharu akan diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

“Kita sedang melihat kepada semua kemungkinan. Kita mahu mengekalkan kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional) tetapi jika ia tidak boleh dilakukan, mungkin akan wujud gabungan baharu,” katanya.

Petang kelmarin, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak, sehari selepas gagal memperoleh undi percaya di sidang DUN.

Beliau hanya memperoleh 10 undi daripada 59 penyokong, dengan 48 menentang usul dan satu berkecuali.

Semalam, Sultan Nazrin menerima peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, berkuat kuasa hari ini. -Malaysiapost

Foto Kredit: Malay Mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here