
Aiman Hanif
UMNO membuat keputusan mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar Perak menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut sumber Umno, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Umno Perak bersama Presiden parti itu Datuk seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
“Mesyuarat Umno malam tadi bersetuju untuk mencalonkan Saarani sebagai calon Menteri Besar dari Umno.
“Keputusan itu disokong oleh semua Adun Umno yang hadir mesyuarat malam tadi,” katanya kepada Malaysiapost.
Saarani yang juga bekas guru telah menjadi Adun selama empat penggal dan mempunyai pengalaman dalam politik.
Selain Saarani, sebelum ini nama Datuk Seri Zambry Kadir turut disebut sebagai calon Menteri Besar.
Nama Saarani dikemukakan selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat undi bagi usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hari ini Ahmad Zahid menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta Ipoh.
Ketika ditemui media Pengerusi BN itu tidak menolak kemungkinan Umno akan membentuk kerajaan baharu Perak yang turut membabitkan DAP.
Beliau berkata, gabungan baharu itu mungkin berlaku sekiranya jajaran sebelum ini iaitu membabitkan PAS dan Bersatu gagal mencapai kata sepakat.- Malaysiapost
