KKM belum ada maklumat isu pembekalan dos vaksin Pfizer

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia sekali gus pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin tersebut sebagaimana dilaporkan.

Bagaimanapun, katanya, KKM sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

“Menjadi tanggungjawab NPRA, KKM untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftar untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

“Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas pertanyaan awam mengenai laporan agensi berita antarabangsa Reuters kelmarin, bertajuk ‘Pfizer says supply chain challenges contributed to slashed target for Covid-19 vaccine doses in 2020’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here