Fitri Nizam
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberi bayangan bahawa parti itu lebih berminat kekal kerjasama dengan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menerusi akaun Twitternya, Takiyuddin menjelaskan gabungan ketiga-tiga parti itu adalah penyatuan ummah.
“PAS memang suka berSATU, tapi sebaiknya berTIGA Umno, PAS dan PPBM (Bersatu) = penyatuan ummah.
“Penyatuan adalah kekuatan, perpecahan merupakan kelemahan,” katanya.
Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) itu berkata, perpaduan adalah kekuatan manakala perpecahan adalah kelemahan.
“Stand together and love one another (berdiri bersama dan saling mengasihi,” katanya.
Sejak semalam, suhu politik negara semakin hangat apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkirkan menerusi undi percaya yang dibawa Umno pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun).
Ahmad Faizal hanya mendapat 10 sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu, PAS, Gerakan dan Bebas.
Manakala 48 undi termasuk Adun Umno tidak menyokong beliau sekali gus menyaksikan Ahmad Faizal meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar hari ini. – Malaysiapost

