UNDI percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam bukan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mengekalkan kerajaan sedia ada, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, usul undi percaya yang dikemukakan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah suara hati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak.
Dalam wawancara secara langsung menerusi Facebook Amir Hijaz Fans malam tadi, Ahmad Zahid berkata, yang mahu ditukar hanyalah individu yang menjadi Menteri Besar, tetapi kerajaan PN tetap diteruskan.
“Undi percaya yang terhasil ialah 48 tidak menyokong, 10 menyokong dan seorang berkecuali adalah suara hati ahli DUN Perak.
“Yang berlaku di Perak melalui undi percaya di dalam DUN pada hemat saya diputuskan oleh ahli-ahli DUN bukan berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan PN di Perak, sebaliknya untuk mengekalkan kerajaan yang ada,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau telah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ahmad Faizal sebelum ini bagi mencari beberapa jalan terbaik agar kedudukan politik di Perak itu dikukuhkan.
Ahmad Faizal semalam hilang kepercayaan majoriti Adun Perak selepas wakil Umno mengusulkan undi percaya di persidangan DUN.
Beliau hanya memperoleh 10 undian menyokong dan 48 Adun lagi termasuk Adun Umno mengundi untuk tidak percaya manakala satu undi rosak. – Malaysiapost

