BEKAS kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim digugurkan Melaka United bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Pemain berusia 33 tahun itu antara 60 peratus pemain musim ini yang digugurkan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).
Namun, nasib berbeza buat penggendali pasukan itu, Zainal Abidin Hassan yang masih kekal sebagai ketua jurulatih.
Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata khidmat Zainal Abidin masih diperlukan untuk membawa pasukan itu yang akan dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) musim depan untuk berada di landasan lebih baik.
Beliau bagaimanapun berkata pengurusan turut memberi cabaran kepada pengendali berusia 59 tahun itu untuk meletakkan MUFC dalam kelompok pasukan teratas, sekali gus memperbaiki kedudukan musim ini.
Melaka United menamatkan saingan Liga Super 2020 pada kedudukan kesembilan selepas hanya mengumpul 11 mata hasil empat kemenangan, dua seri dan lima kekalahan. – Malaysiapost

