Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menafikan tuduhan meminta suapan dan menyifatkan tindakan dikenakan terhadapnya sebagai satu “pendakwaan politik”.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tak pernah menerima sebarang suapan.
“Saya akan lawan tuduhan rasuah ini yang saya rasa bermotifkan politik, tak berasas, untuk mencemarkan nama baik saya sebagai seorang anggota parlimen dari pembangkang.
“Kita akan serah kepada mahkamah untuk membuktikan bahawa saya memang tak bersalah,” katanya kepada media di mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan meminta suapan yang dikenakan ke atasnya.
Beliau dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah bertanya tentang wang suapan yang dikaitkan dengannya.
“Sma ada dalam bentuk wang tunai atau pun dalam akaun bank saya. Tak ada puluhan juta, tak ada bilion ringgit.
“Jadi di mana rasuah?” katanya lagi.

