Pulih Covid-19, Alif Satar kembali ke pangkuan keluarga

0
2

PENYANYI Alif Satar telah dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga tersayang selepas disahkan sihat dan telah bebas daripada wabak Covid-19.

Penyanyi itu telah menjalani rawatan dan kuarantin selama 12 hari di Hospital melaka, dibenarkan pulang ke rumah sejak Rabu lalu.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat, rezeki, kesihatan dan kebahagiaan yang dikurniakan… Saya kini bebas Covid-19.

“Berkat doa rakyat Malaysia dan izin-Nya, saya kembali sihat dan sudah berada di pangkuan keluarga tersayang.

“Saya cukup hargai dari lubuk hati paling dalam. Jutaan terima kasih dan penghargaan buat semua pihak terutama Kementerian Kesihatan, produksi Muzik Muzik 35, JS Pictures dan semua rakan industry,” tulisnya di laman Instagram (IG) hari ini.

Alif, 30, juga mengucapkan syukur selepas dimaklumkan semua individu yang menjadi kontak rapatnya disahkan negatif Covid-19

“Sesungguhnya, saya amat bersyukur apabila dimaklumkan semua yang terbabit di set penggambaran, artis dan kru produksi Muzik Muzik 35 bebas Covid-19.

“Saya pasti ada hikmah atas apa yang berlaku. Saya cukup terharu apabila menerima banyak titipan doa, mesej dan kata-kata semangat daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pelantun lagu ‘Selamanya Cinta’ itu turut mengucapkan terima kasih apabila ahli keluarganya juga mendapat sokongan tidak berbelah bagi rakyat Malaysia.

“Sokongan setiap individu meringankan bebanan dan kerisauan kami sekeluarga,” katanya.

Alif juga berharap usaha pihak kerajaan dan masyarakat dalam melawan wabak Covid-19 terus berterusan.

“Saya meminta rakyat Malaysia menghidupkan cogan kata ‘Kita Jaga Kita” dengan sepenuh jiwa.

“Hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasing dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini.

“Tiada siapa yang minta dijangkiti. Budaya negatif bukanlah ciri-ciri yang baik sebagai rakyat Malaysia.

“Agama Islam menitik beratkan sifat kasih dan sayang. Bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah tetapi sesama manusia,” ujarnya lagi.

Sementara itu, tidak dilupakan penyanyi itu juga mengucapkan terima kasih buat semua petugas barisan hadapan terutama di Hospital Melaka dan Hospital Sungai Buloh atas khidmat dan dedikasi mereka.

Selain itu, dia turut menghargai kebaikan para wartawan, rakan-rakan media yang selalu menelefon bertanya khabar dan berdoa kesihatannya.

“Saya sayang semua. Semoga Allah pelihara kita… Amin ya rabbal alamin,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here