JHEV salurkan terus bantuan pada waris Mohd Zahir

0
2

JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan tiada sebab wujud pertikaian berhubung nasib anak-anak Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya kerana bantuan telah disalurkan mengikut peraturan yang telah ditetapkan

Ini kerana, pelbagai faedah yang telah disediakan pihak JHEV untuk setiap waris Allahyarham Mohd Zahir.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, antara penerima faedah daripada pihaknya adalah ibu, Rusunjan Mohamad, balu, Nour Shafinar Harun dan lima orang anak.

“Untuk bayaran (faedah) kepada balu, kita bayar terus kepada balu. Bayaran kepada anak bekas isteri kita bayarkan kepada akaun anaknya.

“Untuk anak yang bersama dengan balu, ada tiga orang anak, kita bayar ke akaun balu. Manakala bagi anak Allahyarham yang berada dengan bekas isteri, kita bayar ke dalam akaun anak,” katanya dalam satu sidang media.

Menurut Dzulkarnain, bayaran secara one-off kepada ibu, balu dan lima anak berjumlah RM108,004.73 sudahpun dibuat pada Mac 2020 dan Oktober tahun lepas.

Selain itu, katanya, bagi ibu Allahyarham jumlah bayaran one-off yang diterima adalah Ganjaran Terbitan berjumlah RM16,029 dan turut menerima Pencen Terbitan (PT) dan Pencen Orang Tanggungan (POT) berjumlah RM1,253.91 setiap bulan.

“Bayaran tersebut sudahpun dibayar mulai April lalu mengikut pecahan PT sebanyak RM401.68 dan POT RM852.23.

“Sementara balu pula menerima one-off Ganjaran Terbitan dan Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) berjumlah RM91,983.73.

“Balu juga turut menerima faedah bulanan seperti PT, POT dan Ex Gratia Orang Tanggungan (EXOT) berjumlah RM5,416.62 yang dibayar sejak November tahun lalu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan PT yang diterima balu adalah bernilai RM1,326.08, POT pula diterima bagi tiga orang anak termasuk anak tiri berjumlah RM2,506.54 dan EXOT bagi anak kandung sahaja sebanyak RM1,584.

Tambahnya, anak dengan bekas isteri iaitu Mohamad Remy Iskandar dan Mohamad Ebel Zulkarnain pula menerima one-off Ganjaran Terbitan dan FGCR berjumlah RM32,923.28.

Bayaran bulanan diterima juga melibatkan PT bagi dua orang anak kandung berjumlah RM530,43, POT (RM557) dan EXOT (RM576).

Dzulkarnain turut memaklumkan berhubung insurans yang diperoleh sekitar RM200,000 adalah diluar bidang kuasa JHEV.

Malah, beliau menegaskan kebajikan orang tanggungan Allahyarham tetap tidak akan diabaikan sebagai mengenang jasa pengorbanannya.

“JHEV ATM ingin menegaskan sekali lagi bahawa Orang tanggungan Allahyarham Mohd. Zahir tidak akan sesekali diabaikan oleh Kementerian Pertahanan.

“Malahan segala bentuk bantuan semasa seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Khas Kerajaan (BKK) dan Skim bantuan lain yang bersesuaian akan disalurkan dari masa ke semasa mengikut permohonan dan keperluan.

“Jasa bakti serta pengorbanan Allahyarham kepada negara sentiasa akan dikenang dan dihargai sampai bila-bila,” katanya lagi.

Allahyarham Mohd. Zahir terkorban ketika terlibat dalam kemalangan ketika latihan di Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 September tahun lalu.

Siasatan yang telah dibuat oleh Tentera Darat Malaysia mencapai keputusan insiden tersebut telah diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan dan diperkaitan dengan tugas.

Sebelum ini, pengarah veteran AR Badul atau nama sebenar Armaya Aman Ramlie, 71, meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada media apabila dia dinafikan hak ke atas harta peninggalan anaknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here