SIKAP akur kepada kekalahan ditunjukkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berlapang dada dan terbuka harus dipuji.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan, berkata, Ahmad Faizal telah menunjukkan keikhlasan dan tidak mementingkan kedudukannya untuk kekal sebagai Menteri Besar Perak semata mata.
Menurut Wan Saiful, sikap Ahmad Faizal yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu itu tidak memanjangkan kemelut politik di Perak membuktikan bahawa beliau meletakkan kepentingan rakyat Perak lebih utama daripada dirinya.
“Ahmad Faizal menunjukkan keikhlasan dan kepimpinan beliau apabila beliau berkata bahawa dalam waktu kita semua sedang menghadapi keadaan yang tidak menentu dari segi ekonomi dan kesihatan, permasalahan politik tidak perlu dipanjangkan.
“Pandangan sebegini jelas menunjukkan kesungguhan beliau menjaga kebajikan rakyat dan sikap beliau yang sentiasa meletakkan rakyat di hadapan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 berbanding 48 undi dalam usul undi percaya di Sidang Dun Negeri Perak, hari ini.
Dalam ucapannya sejurus kekalahan itu, Ahmad Faizal berkata beliau berjanji peralihan kuasa menteri besar akan berjalan lancar.
“Saya terima dengan redha, saya fikir dalam suasana kita menghadapi keadaan tidak menentu, masalah pekerjaan di kalangan rakyat, masalah politik ini tidak perlu kita panjangkan…
“Saya selaku menteri besar ingin memberi komitmen untuk memastikan transisi kepada kerajan yang baharu dibuat dengan berhemah demi kepentinga rakyat,” katanya.
Menurut Wan Saiful, Bersatu akan membincangkan isu kekalahan Menteri Besar Perak itu dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.
“Perkara ini Insyallah akan dibincangkan oleh pimpinan Bersatu dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” katanya. -Malaysiapost

