Tun M tubuh parti baharu lagi

0
3

Fitri Nizam

Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti berasaskan orang Melayu yang bergerak bebas tanpa terikat dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, pihaknya masih belum menentukan nama parti yang akan ditubuhkan berkenaan dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Kita telah rujuk ke mahkamah berkenaan perlucutan enam ahli Bersatu yang tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan parti, namun mahkamah berpendapat tindakan itu sebagai sah.

“Justeru, kami ada masalah tidak dapat bergerak melainkan secara bebas, jadi kami ingin menubuhkan parti baru,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pihaknya masih belum menentukan nama parti berkenaan namun berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan menerima nama yang dipilih kelak.

“Saya akan menjadi pengerusi sementara parti ini manakala presiden sementara adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, parti yang bakal ditubuh itu berasaskan perjuangan untuk menghapuskan rasuah dan kleptokrasi malah tiada jaminan jawatan tertentu dalam parti atau kerajaan.

“Ia juga akan bersifat inklusif dan moderat serta memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan berprinsip,” katanya.

Dr Mahathir berkata, penubuhan parti baru itu bukan untuk memecahbelahkan orang Melayu, namun beliau berpendapat parti Melayu sedia ada sudah pun menyeleweng dari perjuangan sebenar.

“Bukan niat kami nak adakan banyak parti politik Melayu tapi parti Melayu terdahulu dah lari dari asal asas perjuangan… dah menyeleweng,” katanya.