Nurul Huda Abhar
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kluster baharu dikenalpasti hari ini, kedua-duanya di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertama adalah Kluster View Kolombong yang melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.
“Sehingga 1 Disember, sejumlah 76 individu telah disaring, di mana 40 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, satu lagi kluster ialah Talang-Talang melibatkan daerah Kota Kinabalu yang mana 67 individu telah disaring dengan 18 kes dikesan positif Covid-19
“Ini menjadikan terdapat 364 kluster telah dilaporkan termasuk dua kluster baharu yang dikenalpasti pada hari ini,” katanya.
Menurut beliau, jumlah kluster yang tamat pula adalah 184, menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 180.
Sementara itu katanya, sebanyak 33 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.
“Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Hentian (118 kes) dan Batu Tujuh (37 kes),” katanya. – Malaysiapost

