KEMENTERIAN Kewangan membuka tempoh rayuan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang layak mulai 7 hingga 21 Disember ini.
GPK ialah bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini hampir 850,000 PKS mikro telah menerima GKP dan GKP 2.0, dengan jumlah bantuan kewangan keseluruhan sebanyak RM2.55 bilion.⠀
⠀
“Kerajaan amat prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya terutama PKS mikro.
“Sehubungan itu, GKP dan GKP 2.0 merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu PKS mikro yang terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima GKP 2.0, setiap permohonan disemak silang dengan data agensi ditetapkan kerajaan sehingga 31 Ogos 2020, termasuk di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).⠀
“Tempoh rayuan GKP 2.0 akan dibuka dari 7 hingga 21 Disember 2020. Ini bagi memberi peluang kepada perayu untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen sokongan untuk disemak/diverifikasi semula oleh LHDNM,” katanya.
Beliau berkata, permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di Portal GKP, https://gkp.hasil.gov.my. – Malaysiapost

