Polis tahan suspek utama sindiket judi ‘online’

0
2

POLIS menahan suspek utama kegiatan judi dalam talian di negara ini yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket didalangi Alvin Goh dan Addy Kanna yang tular, baru-baru ini.

Difahamkan suspek tersebut adalah warga China, Chen Dewei berusia 31 tahun ditahan menerusi Op Dadu di sebuah lokasi di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Turut diberkas, enam lagi lelaki terdiri lima warga China dan seorang rakyat tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata sepanjang operasi bermula 10 hingga 20 Oktober lalu, seramai 130 individu ditahan menerusi serbuan ke atas 14 pusat panggilan judi dalam talian di sekitar Lembah Klang.

“Menerusi serbuan dan tangkapan itu, kita menumpaskan 12 sindiket pusat panggilan judi dalam talian termasuk didalangi Dewei dan enam konconya.

“Antara sindiket yang ditumpaskan itu ada kaitan dengan sindiket didalangi Alvin Goh dan Addy Kanna.

“Suspek mempunyai hubungan dengan dalang di negara ini dan membawa sindiket dari China untuk membuka pusat panggilan judi dalam talian di sini,” katanya.

Tambah Huzir, Dewei adalah dalang yang dikehendaki pihak berkuasa di China kerana kegiatan penipuan dan berperanan sebagai penghubung antara sindiket di Malaysia dan China.

“Dewei kini bersama enam lagi suspek direman 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Mereka akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 8 Januari ini selepas tamat reman 38 hari,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata semua suspek adalah antara 87 individu ditahan menerusi Operasi Dadu Centre yang direman 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Seramai 19 lagi individu kini masih dalam siasatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 13 lagi dibebaskan,” katanya.

Beliau menambah, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, Addy Kanna serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

“Semua hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu.

Katanya, Keempat-empat individu berkenaan akan dihantar ke tiga Pusat Pemulihan Khas (PPK) iaitu di Simpang Renggam, Bentong dan Pokok Sena. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here