SUSPEK utama kes mencampak cucu tiri di sebuah pangsapuri di Setapak, didapati mengalami masalah mental, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin.
Beliau berkata maklumat suspek warga Nigeria itu berdasarkan keterangan dari keluarga dan rakan lelaki berkenaan.
“Suspek ada mengambil ubat berhubung sakit yang dialami. Difahamkan dia ada sedikit sakit mental dan mengambil ubat.
“Namun polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Saiful Azly berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Setakat ini isteri suspek dan dua anak tirinya masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala proses bedah siasat terhadap mangsa yang berusia empat tahun masih dijalankan.
“Polis juga sedang menyiasat dakwaan suspek terbabit dengan ajaran sesat atau tidak,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan.
Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak maut selepas dicampak oleh datuk tirinya yang juga warga Nigeria dari tingkat tiga sebuah apartmen di Setapak.
Kejadian pada jam 8 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia empat tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Mangsa ditemui berlumuran darah dengan tidak berseluar sebelum disusuli dengan tindakan suspek terjun dari tingkat yang sama dalam keadaan berbogel. – Malaysiapost

