Terowong dasar laut: Guan Eng mengaku tidak bersalah

0
3
Proses pendakwaan Guan Eng bermula

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan terhadap Guan Eng dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pertuduhan ke atas anggota parlimen Bagan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Setiausaha Agung DAP itu diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala SPRM diwakili pasukan pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Nik Haslini Hashim dan Farah Yasmin Salleh.