Belanjawan 2021: Imbangi tanggungjawab bantu rakyat, bangun negara

0
3
MOF Minister Dato' Sri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz at Parliament Malaysia

KERAJAAN perlu mengimbangi antara tanggungjawab membantu rakyat dengan keperluan pembangunan negara menerusi Belanjawan 2021, supaya ekonomi Malaysia mampu bertahan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata banyak permintaan yang disuarakan rakyat dan Ahli Parlimen terhadap belanjawan itu adalah berbentuk jangka pendek.

Namun, beliau berkata, kerajaan perlu membuat perancangan untuk membangunkan negara supaya ekonomi dapat terus dijana, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kita perlu fikir untuk kesan jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Oleh itu, banyak perbelanjaan pembangunan diperuntukkan bukan saja dalam projek kecil untuk menolong tetapi juga projek besar dan infrastruktur.

“Ramai yang bertanya kenapa kita membuat peruntukan begitu besar untuk perbelanjaan pembangunan, kenapa kita tidak bagi saja wang itu kepada rakyat?

“Ya, kita ada peruntukan tunai untuk rakyat, yang naik dengan begitu banyak, iaitu kira-kira 30 peratus, namun kita juga perlu membuat peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan kerana ini akan menjana pekerjaan dan ekonomi kita,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Belanjawan 2021 Kemenangan Rakyat’ yang disiarkan Bernama TV, hari ini.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, dengan RM236.5 bilion (73.3 peratus) bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion (21.4 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan, dan RM17 bilion lagi bagi Kumpulan Wang Covid-19. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here