Covid-19: Kes meningkat, tangguh buka sempadan Malaysia-Singapura

0
2

PENINGKATAN kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini khususnya di Johor menyebabkan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura tertangguh.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, tumpuan ketika ini untuk mengawal penularan kes positif Covid-19 di negeri itu dengan beberapa daerah terpaksa menjalani kuarantin termasuk agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi Johor bergantung kepada negara jiran.

“Apabila kes meningkat, usaha membuka sempadan terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 1,209 kes Covid-19 dilaporkan di negeri ini serta 12 kluster aktif yang mana terbaharu iaitu Kluster Gemilang melibatkan sebuah syarikat logistik di Johor Bahru.

Sempadan Malaysia-Singapura mula ditutup sejak 18 Mac lalu apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 namun dibuka untuk skim pertama dan kedua pada 17 Ogos lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, proses kuarantin bermula di Kota Tinggi disusuli daerah lain termasuk dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Hasni berkata, beliau bagaimanapun berterima kasih dengan keputusan kerajaan Pusat untuk melaksanakan PKPB secara bersasar di negeri ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan.

“Pada peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada individu yang ‘berehat sebentar’ di jalanan sebelum kembali bekerja keesokan harinya.

“Inisiatif ini selain bagi meringankan beban mereka juga merupakan satu bentuk penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here