Rakyat semestinya terima baik pengumuman Menteri Kewangan – Anwar

0
2

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui rakyat terutama dari kalangan yang cukup terkesan akibat kehilangan kerja atau pendapatan, semestinya menerima baik pengumuman Menteri Kewangan beberapa pindaan dalam Belanjawan 2021 semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, bejet itu turut melibatkan peruntukan tambahan bagi Sabah, nelayan dan petani, petugas barisan hadapan Covid-19 dan pekerja yang mengharapkan bantuan segera.

Katanya, walaupun rakan dalam PH khususnya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi, beliau membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang meminta ketua-ketua whip tidak berbuat demikian.

Ini supaya, katanya, Ahli-Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam seluruh pengumuman Menteri Kewangan.

“Ahli-Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana kementerian lain.

“Apakah jumlah sebenar Belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson berkata, peluang masih ada untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.

“Perlu saya nyatakan dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti ini.

“Ini tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here