Najib minta KWSP permudah pengeluaran i-Sinar

0
3

DATUK Seri Najib Razak berkata beliau dan Barisan Nasional (BN) bersangka baik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mempermudah pengeluaran i-Sinar.

Bekas Perdana Menteri itu berharap KWSP tidak akan menyusah atau sengaja menafikan hak rakyat untuk mengeluarkan wang mereka sendiri.

Katanya, jika masih rumit atau menyusahkan, BN masih ada peluang untuk menolak Belanjawan pada undian peringkat jawatankuasa.

“Jika pun bajet diluluskan sepenuhnya dan kerajaan masih tidak tepati janji mereka pada kita dan rakyat, saya dan BN masih ada cara serta jalan untuk tuntut kerajaan penuhi tuntutan-tuntutan ini.

“Mohon semua berhubung dengan pemimpin-pemimpin Umno dan BN di cawangan masing-masing sekiranya masih dipersulitkan dengan pelbagai syarat tidak munasabah.

“Jika komitmen serta janji kerajaan (Perikatan Nasional ini tidak tertunai maka BN akan mengambil tindakan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Najib bagaimanapun meminta rakyat supaya bersabar seketika dan beri sedikit ruang bagi KWSP mengumumkan secara terperinci berhubung proses baharu bagi skim i-Sinar yang telah ditambahbaik.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika penggulungan Belanjawan 2021 berkata Program i-Sinar KWSP akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas dengan 8 juta pencarum bakal menerima manfaat.

Beliau berkata had pengeluaran juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.

“Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, ataupun telah terkurang pendapatan mereka tahun ini… ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.

“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here