Senoi Praaq digelar ‘pembunuh senyap’ oleh CIA

0
2

GELARAN ‘Silent Killer’ (pembunuh senyap) diberikan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) kerana ketangkasan, keberanian dan kemahiran ilmu hutan mereka yang tinggi, selain tidak gentar berdepan dengan musuh.

Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dan rakannya, Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah, selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Selasa lalu adalah anggota pasukan itu yang merupakan sebahagian daripada Batalion 3 PGA berpangkalan di Bidor, Perak.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Supt Rosman Kasman berkata, sejarah gelaran itu bermula apabila Senoi Praaq yang bermaksud ‘Orang Perang’, ditugaskan ke selatan Thailand pada 1960 untuk memujuk lebih 3,000 Orang Asli yang tinggal di sana membantu dalam pemburuan pemimpin komunis Soo Ah Chye.

Beliau berkata, pada tahun 1964, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Lt. Kol. R.O.D. Noone yang merupakan pengasas Senoi Praaq, bersama sekumpulan anggotanya telah dihantar ke Pleiku, Vietnam atas permintaan pemimpin negara berkenaan ketika itu bagi melatih kumpulan masyarakat Orang Asli.

Mereka diminta melatih cara menentang komunis secara ‘heart and mind’ sebagaimana dijalankan dengan jayanya di negara ini ketika melawan pengganas itu di zaman darurat.

“Mereka bertanggungjawab membentuk pasukan Montagnard Scouts di bawah MSP (Mountain Scout Program) kendalian CIA dengan kerjasama BRIAM (British Advisory Mission).

“Di sana, mereka mendapat gelaran ‘The Silent Killer’ oleh CIA dan pernah digunakan secara rahsia dalam menjalankan misi sulit di Laos,” kata Rosman seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Menurutnya, setelah 11 bulan menjalankan misi sulit itu, pasukan Senoi Praaq tersebut pulang ke tanah air dan sepanjang perjalanan mereka menggempur musuh.

“Ramai juga anggota Senoi Praaq terkorban dalam perjalanan balik dan peristiwa itu telah disematkan dalam sebuah buku berjudul, Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan unit elit tersebut pada Mei 1956 oleh Noone dibuat atas arahan pihak British berdasarkan keperluan untuk mengadakan satu kumpulan Orang Asli beroperasi di kawasan hutan pedalaman bagi memenangi hati masyarakat itu yang dipercayai terpengaruh oleh propaganda komunis ketika itu.

Selain itu, kata beliau, pada tahun 1957, British Army 22 Special Air Service Regiment (SAS) telah memberi pengiktirafan kepada pasukan Senoi Praaq dengan pemakaian ‘Beret Merah’ atas kejayaan cemerlang unit tersebut dalam setiap operasi membanteras komunis.

Menurutnya, sejak penubuhan unit Senoi Praaq itu, pelbagai kejayaan dilakar dan mereka banyak terlibat dalam pelbagai operasi, antaranya Op Bamboo yang merupakan operasi tertua dilaksanakan oleh pasukan keselamatan negara yang dilancarkan pada Oktober 1959 di Perak dan berakhir pada 2 Disember 1989 susulan pemeteraian perjanjian damai.

“Seperti mana kita ketahui, penugasan Op Bamboo bertujuan mengekang pergerakan dan memusnahkan ancaman komunis, musuh nombor satu negara ketika itu. Di sinilah kepakaran Senoi Praaq diperlukan bagi membantu menjejaki komunis dalam hutan tebal,” katanya.

Sungguhpun ancaman komunis telah berakhir, khidmat Senoi Praaq sentiasa diperlukan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan tanah air di sempadan negara, selain menyertai misi mencari dan menyelamat orang hilang di hutan.

“Antaranya, pasukan Senoi Praaq ini terlibat dalam misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin yang hilang di Negeri Sembilan pada Ogos tahun lalu, selain digunakan bagi mengesan pemburu haram yang merosakkan flora dan fauna pada Oktober tahun lepas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here