Muhammad Mustakim Ramli
[PARLIMEN] Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan peruntukan yang dikhususkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Belanjawan 2021 dipotong.
Katanya, sebahagian peruntukan itu disalur kepada beberapa perkara lain seperti bantuan ‘one-off’ kepada semua petugas barisan hadapan.
Tengku Zafrul berkata demikian selepas menjawab celahan Datuk Seri Mukhiz Mahathir (Bebas-Jerlun) mengenai peruntukan yang semakin besar susulan pengumuman bantuan yang meluas.
Bagaimanapun Tengku Zafrul tidak menjelaskan lebih terperinci berapa jumlah yang dipotong kerana terlalu ramai Ahli Parlimen mencelah dengan pelbagai soalan.
Sebelum ini, peruntukan lebih RM81 juta untuk ‘menghidupkan’ semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menerusi Belanjawan 2021, disifatkan tidak berasas dan bercanggah beberapa keutamaan lain, yang sepatutnya diberikan perhatian.
Pengerusi Penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Abdul Rahman, ketika menyuarakan pendirian itu, berkata pentadbiran kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dulu hanya memperuntukkan dana lebih rendah, iaitu RM30 juta. – Malaysiapost

