Honda Malaysia ‘recall’ 2,784 kenderaan, ganti beg udara

0
2

SEBANYAK 2,784 kenderaan Honda membabitkan model tahun 1999 dan unit CR-V model tahun 2000 dipanggil semula bagi menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu Takata.

Ia seiring dengan panggilan balik Honda global bagi Inflator Beg Udara Pemandu Bukan Azida (NADI).

Honda Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya memberi jaminan model jualan semasa tidak terkesan dengan panggilan balik itu dan akan terus berpegang kepada ketelusan dan kawalan ketat untuk pelanggan.

“Syarikat yakin pangggilan balik ini perlu sebagai langkah pencegahan untuk mengatasi kemungkinan inflator beg udara bahagian pemandu Takata mengalami tekanan dalaman berlebihan.

“Dan dengan itu, menyebabkan beg udara gagal berfungsi dengan baik atau pecah.

“Setakat hari ini, tiada laporan di Malaysia berhubung kejadian kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh beg udara bahagian pemandu Takata bagi kedua-dua model tahun tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan, yang akan merangkumi butiran panggilan balik produk.

“Honda Malaysia menggesa pelanggan yang terkesan supaya menghubungi pengedar sah Honda bagi menetapkan temu janji selepas menerima surat pemberitahuan bagi menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu, tertakluk kepada ketersediaan komponen.

“Syarikat memohon pelanggan yang terlibat membuat temu janji lebih awal untuk memastikan proses penggantian beg udara bahagian pemandu itu berjalan lancar dan pantas,” katanya.

Dalam masa sama, pelanggan juga diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Termasuk memakai pelitup muka dengan betul, mengekalkan penjarakan fizikal, sanitasi tangan secara kerap apabila berkunjung ke pusat pengedar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penggantian inflator beg udara bahagian pemandu Takata yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan dengan aktiviti penggantian ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

“Stok pengganti akan tersedia secara berperingkat,” katanya.

Kenderaan yang terbabitkan adalah 1,380 unit Accord bagi model tahun 199 9 dan 1,404 unit CR-V, model tahun 2000.

Pemilik kenderaan boleh menyemak status panggilan balik kenderaan mereka sama ada menerusi www.honda.com.my, www.productrecall.honda.com.my atau menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here