Nurul Huda Abhar
TUN Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengakui menolak Belanjawan 2021 sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan, bukan disebabkan belanjawan berkenaan tidak bagus, kata Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu, berkata pelbagai alasan dicipta Dr Mahathir dan Ahli Parlimen pembangkang lain kerana mempunyai niat untuk merampas kuasa daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Pujuk rayu, ugutan, komplot dan pertemuan sulit terus berlaku sepanjang sidang belanjawan yang tujuannya meneruskan agenda menggulingkan kerajaan.
“Difahamkan, mereka masih mengalami kesukaran kerana mereka ditentang oleh kelompok yang jujur mahukan bajet yang baik demi membela rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memberitahu kelompok yang menyokong Belanjawan 2021 bukan sahaja menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tetapi turut istiqomah menjunjung keputusan parti masing-masing.
Katanya, apa yang dimahukan adalah kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan keberhasilan kerajaan untuk membentuk kesejahteraan sejagat.
“Justeru bajet perlu dilulus di peringkat dasar (bacaan kedua) sebelum boleh di bawa ke peringkat jawatankuasa dan seterusnya bacaan ketiga dan diluluskan.
“Kini sekilas ikan di air, bolehlah kita tahu jantan betinanya,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan beliau dan ‘rakan-rakannya’ mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 yang akan diundi di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, keputusan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang bagi pihak rakyat kerana proses perbahasan Belanjawan yang dijalankan dilihat sangat mengecewakan.
“Selain daripada perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda di pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli Parlimen mahupun kritikan rakyat yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat.
“Sebaliknya, pihak kerajaan bertindak mengugut ahli-ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 ditolak, maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan ‘frontliners’ tidak dapat dibayar,” katanya.
-Malaysiapost

