SPRM siasat isu pembayaran royalti artis

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha industri tanah air.

Difahamkan, siasatan itu hasil maklumat Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, mengenai isu penyalahgunaan dana kutipan royalti hak cipta lagu bagi tujuan “public performance” yang tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

Menurut sumber, satu operasi telah dijalankan semalam di empat pejabat yang dipercayai terlibat dalam proses kutipan royalti berkenaan.

Ia membabitkan Public Performance Malaysia (PPM), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), Music Authors Copyright Protection Bhd (MACP) dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis Berhad (PRISM).

Difahamkan, setakat ini, SPRM sedang mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian.

“Beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu penyiasatan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen berhubung siasatan ini.

“Untuk berlaku adil ke semua pihak yang terlibat, semua pihak diminta untuk tidak mensensaskan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Karyawan menyatakan komitmen membantu dan memberi sokongan kepada SPRM berkaitan isu royalti pemuzik dan artis tanah air.

Freddie berkata, dia berharap SPRM menyiasat dan menyelesaikan kemelut yang berlarutan selama 20 tahun itu.

Bagi tujuan itu, katanya, beliau telah bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki baru-baru ini, menyampaikan taklimat berkaitan latar belakang isu royalti dihadapi industri hiburan tanah air. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here