Tak perlu tergesa-gesa dapatkan vaksin, negara masih boleh kawal Covid-19

0
3

TIADA keperluan untuk tergesa-gesa mendapat vaksin Covid-19 kerana negara setakat ini dapat menangani wabak itu dengan baik tanpa tanpa vaksin.

Perkara itu dinyatakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali yang percaya banyak negara akan memperoleh lebih banyak vaksin, sedangkan Malaysia mampu menanganinya tanpa vaksin.

Menerusi kenyataan media hari ini, beliau juga berharap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 6 Disember ini tidak dilanjutkan.

“Rakyat perlu bernafas dan kembali bebas untuk meneruskan kehidupan seperti biasa untuk berniaga dan berkerja. Tidak perlu ada halangan lagi,” katanya.

Ibrahim turut menyarankan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laporan hariannya, dapat menunjukkan melalui peta di mana pesakit Covid-19 berada supaya orang ramai dapat mengelak ke tempat tersebut.

Beliau memberi contoh, apabila kes di Selangor melonjak, ramai menjadi panik sedangkan ia disebabkan kilang Top Glove di Klang dan perkara seumpama ini wajar dimaklumkan dengan lebih tepat.

“Sesiapa berhajat rentas sempadan perlu dapat kebenaran polis. Ini membeban dan menambah tugas polis yang sepatutnya tumpu tugas kepolisan untuk menangkap pencuri dan pelbagai jenis jenayah.

“Apatah lagi negara dibanjiri pendatang asing (PATI) termasuk yang masuk sebagai pelancong dan tidak pulang ke negara asal. Polis kena melipat ganda operasi mencari dan tangkap mereka, ini patut dijadikan keutamaan,” katanya.

Beliau juga meminta prosedur operasi standard (SOP) lebih tersusun dan tidak selalu berubah yang menyebabkan rakyat keliru sehingga ditangkap dan didenda kerana naif dengan SOP dan undang-undang.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan kenapa penghantar makanan melalui e-panggilan tidak dibenarkan menghantar terus oesanan kepada pelanggan di apartmen, flat mahupun kondominium.

“Kenapa bebankan pengawal keselamatan yang terpaksa menghantar setiap peranan atau mereka yang memesan kena turun untuk dapatkan makanan.

“Selain itu, kenapa diarah tutup kolam renang di apartmen? Sebelum arahan tutup, setiap kolam renang sudah pun ada peraturan tetap, tiada ‘over crowding’ dan boleh dihadkan penguna setiap masa,” katanya.

Ibrahim juga meminta SOP mengehadkan pengunjung kepada 20 orang tanpa mengambil kira keluasan apartmen atau rumah, sepatutnya dikira mengikut keluasan termasuk apa juga program yang diadakan.

Beliau turut mempersoalkan keluarga tidak dibenarkan melawat atau ziarah ibu bapa kerana ia menyebabkan kesunyian dan stres yang boleh menyebabkan kematian.

“Kenapa ada syarat setiap keluarga atau pengguna kereta, hanya dibenar dua orang dan sekarang tiga orang. Kenapa tidak dibenarkan jumlah dalam kenderaan mengikut saiz kenderaan. Kalau Velfire muat enam orang kenapa dihadkan tiga orang.

“Amat wajar yang mengurus SOP ini lebih prihatin dan berfikir secara mendalam sebelum membuat peraturan dan biarlah logik akal.

“Sememangnya saya menyokong 100 peratus usaha menangani Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan rakyat dan kita semua, tapi biarlah peraturan masuk akal.

“Kempen pakai pelitup muka, cuci tangan selalu dan amalkan penjarakan fizikal mesti dilipat gandakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here