Liga Premier: Tiada pengganti, hanya 10 pasukan beraksi

0
2

HANYA 10 pasukan bakal bertarung dalam saingan Liga Premier 2021, tahun hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang sekaligus menepis spekulasi ada pasukan yang bakal mengisi slot yang ditinggalkan UKM FC dan Felda United.

“MFL hanya mengikut protokol dalam saingan liga. Disebabkan Felda United dan UKM FC tidak melepasi syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), maka mereka tidak boleh bermain dalam Liga Premier musim depan.

“Jadi saingan Liga Premier musim depan hanya akan ada 10 pasukan dan di peringkat MFL selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), kami akur dengan apa yang telah ditetapkan FAM,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Pada 30 Oktober lalu, FAM memutuskan Felda United dan UKM FC gagal dalam proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat selepas mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi musim depan tidak cukup kukuh.

Keputusan itu menyebabkan Felda United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran MFL bagi musim 2021, sama ada saingan Liga Super atau Liga Premier.

Meskipun mengemukakan rayuan, namun FAM tetap menutup rapat pintu kompromi yang menyebabkan kedua dua pasukan itu terpaksa melupakan peluang beraksi Liga-M 2021.

Mengulas lanjut, Ab Ghani memberitahu, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa pendatang baharu untuk menggantikan tempat kedua-dua pasukan itu.

“Protokol itu apabila dengan pasukan Liga M3 yang menjadi johan dan naib johan yang akan layak ke saingan Liga Premier musim berikutnya. Disebabkan Liga M3 tiada tahun ini, maka tiada pasukan akan ‘naik’ dan Liga Premier musim depan hanya 10 pasukan.

“Felda United dan UKM FC boleh kembali bermain dalam Liga Premier pada tahun akan datang. Tetapi syaratnya kena bermain dalam Liga M3 terlebih dulu dan melengkapkan proses penswastaan untuk melayakkan mereka bermain dalam Liga Premier,” jelasnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here