Kerajaan membenarkan cadangan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) secara fizikal dan maya pada 26 hingga 29 November depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan sahaja dibenarkan masuk dan kehadiran perlu direkodkan.
“Peserta-peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terlibat secara dalam talian,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ismail Sabri berkata prosedur operasi standard (SOP) perancangan dan pelaksanaan bagi MAHA 2020 akan diperhalusi dan dibincangkan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal.

