PRK Slim: Ceramah dibenar dalam kawasan tertutup, berpagar

0
3

Kempen dan ceramah sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hanya dibenar dilaksanakan di kawasan tertutup atau berpagar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan.

“Jumlah kehadiran perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa. Pemakaian pelitup muka diwajibkan,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan semalam telah meneliti dan setuju cadangan garis panduan yang diguna pakai pada PRK Chini untuk PRK Slim, dengan beberapa penambahbaikan.

Antara garis panduan itu, katanya, bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bilik-bilik gerakan ini perlu didaftar dengan SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan,” katanya.

Beliau berkata waktu untuk keluar mengundi adalah digalakkan untuk mengikut ketetapan SPR bagi mengelak kesesakan di pusat-pusat mengundi namun tidak diwajibkan.

“Pihak SPR, katanya, akan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan pilihan yaya yang memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.

“SOP yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penyebaran jangkitan wabak Covid-19 semasa PRK berjalan.

“Bagaimanapun, peraturan di bawah Akta-Akta SPR masih diguna pakai semasa PRK tersebut,” katanya.