BARISAN Nasional (BN) berharap dua cadangan utama yang dinyatakan oleh parti itu termasuk dalam pengulungan Menteri Kewangan pada Khamis ini diluluskan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN masih menyokong Belanjawan 2021.
“Tentunya kita menyokong bajet itu dan kita juga memohon agar permohonan kita diluluskan bagi pertimbangan Menteri Kewangan,” katanya kepada media selepas mesyuarat Menteri-Menteri BN bersama Presiden Parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Beliau turut memaklumkan, mesyuarat berkenaan akan diadakan dua minggu sekali bagi membincangkan isu semasa.
“Kita akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri dan Presiden ini dua minggu sekali.
“Itu adalah keputusan yang dibuat tadi, setiap dua minggu sekali Presiden dan saya akan bertemu dengan Menteri-Menteri BN untuk berbincang mengenai dasar kerajaan yang boleh memberikan input oleh parti,” katanya.
Mengenai mesyuarat itu juga, beliau berkata, mesyuarat tertinggi BN akan membincangkan tentang isu semasa.
Tetapi, kata beliau, yang penting keputusan mesyuarat hari ini, iaitu Presiden dan Pengerusi BN akan bertemu Menteri-Menteri BN dua minggu sekali supaya dapat memberikan pandangan terhadap dasar yang ingin dicadangkan.
Dua perkara utama itu ialah meminta kerajaan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ dan moratorium dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021. – Malaysiapost

