PAS perlukan Umno dan Bersatu

0
2

PAS menyifatkan parti itu perlu mengekalkan kerjasama politik dengan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu berjaya dalam arena politik negara.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata parti itu tidak boleh bergerak bersendirian dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mesti menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) kerana masing masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Pada padangan kita, kalau kita dengan Umno sahaja tak akan ke mana, kalau dengan Bersatu saja pun tak akan sampai ke mana.

“Kita perlukan gabungan ketiga-tiga parti ini. Sebab itu pentingnya Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Ketiga-tiga parti ini ada kekuatan tersendiri,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas susulan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa yang mencetuskan situasi ketegangan di kalangan pimpinan Umno.

Kenyataan Annuar sebelum ni menegaskan bahawa Umno mesti mengekalkan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Susulan itu, beberapa pimpinan Umno memberi reaksi kurang senang dan lantang menentang kenyataan Annuar.

Antara yang lantang bersuara ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pada itu, Mohd Amar juga menyifatkan masalah dalaman Umno yang mencetuskan berlakunya konflik ini.

“Isu ini kalau kita tengok di media melibatkan kalangan Umno, kenyataan Annuar dijawab oleh pimpinan Umno yang lain.

“Kita harap Umno boleh selesaikanlah, kami tak boleh nak campur (tangan), ini masalah dalaman parti. Pandangan-pandangan dalam kalangan pimpinan Umno.

“Pandangan saya sepatutnya masing-masing duduk semeja dan tidak buat kenyataan terbuka. Hari ini isu besarnya masing-masing buat kenyataan terbuka,” jelasnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here