LOGIK apa yang Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) guna apabila dua kejahatan antara arak dan rasuah bertemu, maka rasuah yang perlu diambil tindakan, soal Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata perbandingan yang dibuat Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji adalah salah dan keterlaluan.
Katanya, kedua-dua arak dan rasuah adalah perosak dan mempunyai kesan berat terhadap masyarakat dan negara, tidak kira Islam mahupun bukan Islam.
“Kesan arak adalah langsung dan mendadak. Kes mabuk ketika memandu, keruntuhan rumahtangga dan jenayah dapat dikesan dengan cepat akibat ketagihan arak.
“Sebab itu Islam meletakkan arak sebagai ibu maksiat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka adalah wajar kerana kerajaan perlu menangani isu arak yang mudah dibeli oleh anak muda.
“Kami berpendirian keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan memperkenalkan larangan itu di Kuala Lumpur mulai Oktober tahun depan, adalah wajar,” katanya.
Menurut Mohd Azmi,setiap agensi penguatkuasa ada bidang tugas mereka, agensi itulah yang perlu bertindak berdasarkan undang-undang yang dimandatkan kepada mereka.
Malah beliau berkata, Mapim menolak hujah Patriot yang mendakwa undang- undang itu sebagai campur tangan dalam urusan orang bukan Islam.
“Presiden Patriot, harus faham, soal bukan Islam ada hak untuk minum arak bukan isu, namun mereka juga tertakluk kepada undang-undang yang diwujudkan untuk memelihara keamanan dan kestabilan sosial dikalangan masyarakat.
“Kesan kebolehdapatan arak terlalu tinggi di Malaysia dan negara ini juga dicatat sebagai antara pengguna perkapita minum beralkohol yang tinggi di dunia.
“Jelas mengawal konsumsi arak adalah munasabah bukan sahaja untuk orang Islam malah kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Semalam, Patriot membidas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berhubung kemungkinan memperluas larangan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka ke seluruh negara.
Mohamed Arshad juga meminta Ahmad Marzuk dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya lebih fokus menangani masalah rasuah. -Malaysiapost

