Mayat atas Jalan Bangsar dikenal pasti warga Pakistan

0
3

IDENTITI mayat lelaki ditemui dengan kesan tetakan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada Khamis lalu, dikenal pasti warga Pakistan.

Identiti mayat mangsa berusia 25 tahun itu dikenal pasti selepas bekas isteri yang juga warga tempatan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata wanita berusia 31 tahun itu hadir bersama rakan mangsa yang juga warga Pakistan.

“Berdasarkan keterangan bekas isteri mangsa, mereka telah bercerai pada Oktober lalu. Malah rakan mangsa juga mendakwa kali terakhir berhubung dengan pada 11 November lalu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Anuar berkata, proses pengecaman telah dibuat bekas isteri dan rakan mangsa berdasarkan gambar dan pakaian pada mayat.

Bagaimanapun katanya, pengecaman tubuh badan mangsa akan diadakan esok di Jabatan Patologi Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa pernah menjalankan perniagaan menjual minyak wangi bersama bekas isteri sebelum berhenti setelah mereka bercerai.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek terlibat dan motif sebenar kejadian,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pagi Khamis lalu, laluan di Jalan Bangsar ditutup kira-kira sejam bagi memberi ruang pasukan forensik melakukan siasatan.

Kejadian itu menyebabkan penutupan jalan berkenaan pada jam 7.20 pagi pada 19 November lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here